Ketika saya membaca berita dari sebuah akhbar tempatan Khamis lalu berkenaan keputusan kerajaan negeri Kedah untuk memperkenalkan peraturan baru berhubung imej wanita bertudung di papan-papan tanda iklan, seorang wartawan tempatan seolah tidak berpuas hati, patutnya beri tumpuan pada pencegahan rasuah katanya.
Beliau mungkin menganggap peraturan menutup aurat itu kecil, itu masalah beliau (dan mereka yang sehaluan dengannya).
Menurut Exco yang berkenaan, Dato' Hj Taulan Rasul, Kedah akan mengikuti peraturan yang sama yang diguna pakai di Kelantan. Ini bermakna sebaik diluluskan, semua papan-papan tanda di negeri Kedah yang menggunakan model wanita diwajib memastikan yang gambar model tadi hendaklah bertudung yakni menutup aurat.
Ya, bagi mereka yang liberal, fleksible, moderat atau apa sahaja, mungkin langkah ini sesuatu yang remeh-temeh. Tetapi bagi mereka yang megamalkan Islam, ianya sesuatu yang penting yang perlu dilaksanakan apabila kuasa diberikan oleh Allah swt.
PAS berjuang untuk mendapatkan kuasa, melalui kuasa tadi memungkinkan ia melaksanakan dasar dan matlamat perjuangannya. Memang membenteras rasuah dan kezaliman juga sebahagian dari tuntutan Islam, ia tidak pernah dikesampingkan, namun dalam waktu yang sama pembentukan akhlak dan sakhsiyah rakyat turut menjadi tanggungjawabnya.
Perkara yang mudah dan ringan dan boleh didahulukan, wajarlah di dahulukan, tidak bermakna berlewa tentang yang besar dan berat-berat yang turut sama perlu dilaksanakan. Semuanya akan dilaksana berperingkat-peringkat tanpa alasan, kerana PAS berjuang kerana dan untuk Islam.