PASIR PUTEH: Nasib kru kapal tangki MT Bunga Melati 2 yang ditawan lanun di Somalia sejak 19 Ogos lalu masih belum menentu apabila kumpulan terbabit didakwa meminta wang tebusan RM10 juta untuk membebaskan mereka.
Kini nasib 39 kru kapal termasuk 29 daripadanya warga Malaysia dikatakan bergantung kepada hasil rundingan dengan kumpulan lanun terbabit selepas ditawan sejak 13 hari lalu.
Nor Hasliza Mat Zin, 22, mendedahkan tunangnya, Mohd Salwadi Mamat, 31, yang turut menjadi tawanan lanun terbabit memberitahunya mengenai jumlah wang tebusan diminta kumpulan itu untuk membebaskan semua kru.
Menurutnya, Mohd Salwadi memberitahu demikian kepadanya ketika mereka berpeluang berbual selama 10 minit di telefon pada 26 Ogos lalu.
“Ketika itu, Mohd Salwadi beritahu dia dan rakan yang lain masih berada dalam kapal berkenaan dan lanun itu menunggu untuk mengadakan rundingan membebaskannya.
“Dia berkata keadaannya selamat tetapi saya tidak yakin kerana dari suaranya ketika itu, saya tahu dia seperti menyembunyikan sesuatu dan ketakutan.
“Saya dapat rasakan sesuatu, tunang saya itu memang suka menyembunyikan sesuatu walaupun berada dalam kesusahan kerana tidak mahu orang lain bimbang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Danan dekat sini, semalam.
Mohd Salwadi antara 39 kru kapal milik MISC Bhd (MISC) yang dijadikan tebusan sekumpulan lanun selepas berjaya menawan kapal tangki itu ketika dalam perjalanan dari Dumai, Sumatera, Indonesia menuju Rotterdam, Belanda.
MT Bunga Melati 2 yang ketika itu membawa 32,025 tan minyak sawit dirampas lanun di Teluk Aden, perairan Somalia pada jam 10.09 malam waktu tempatan bersama-sama 29 anak kapal warga Malaysia dan 10 warga Filipina.
Kumpulan lanun yang sama turut merampas dua kapal dari Jerman dan masing-masing satu dari Jepun serta Iran.
Jumaat lalu, sebuah lagi kapal tangki milik syarikat yang sama, MT Bunga Melati 5 dirampas sekumpulan lanun di perairan antarabangsa di luar perairan Yaman.
Ketika kejadian itu, kapal berkenaan dengan 36 kru warga Malaysia dan lima kru penyelenggaraan sementara warga Filipina membawa 30,000 tan bahan petrokimia dalam perjalanan ke Singapura dari Yanbu, Arab Saudi.
Mengulas perbualan dengan tunangnya itu, Nor Hasliza berkata, Mohd Salwadi tidak memberitahu sama ada lanun berkenaan bersenjata atau tidak, begitu juga identiti mereka.
Menurut Nor Hasliza, tunangnya ada membuat panggilan telefon pada 15 Ogos lalu ketika kapalnya berlabuh di sebuah negara Arab untuk mengisi minyak dan dia berjanji akan menghubunginya semula sehari sebelum majlis pertunangan mereka pada 24 Ogos lalu apabila sekali lagi akan berlabuh di Terusan Suez.