SEKUMPULAN saintis melihat skrin yang menunjukkan mesin pemecut jirim
gergasi dihidupkan di pusat kawalan di Geneva semalam.GENEVA- Berita baik setakat ini, dunia masih belum kiamat walaupun sekumpulan saintis semalam melakukan ujian pertama Letupan Besar atau dikenali sebagai Big Bang yang menyebabkan terbentuknya alam semesta seperti Bumi.
Saintis-saintis itu bersorak kegembiraan di sebuah bilik kawalan Pertubuhan Untuk Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) di Geneza, Switzerland selepas satu pancaran partikel proton berjaya dilakukan dalam terowong sepanjang 27.36 kilometer di sempadan Perancis-Switzerland.
Sebelum ini terdapat kebimbangan di kalangan beberapa pihak bahawa ujian terbesar dalam sejarah fizik itu akan mewujudkan lohong gelap gergasi sekali gus menelan Bumi. Bagaimanapun, ujian pertama itu hanya melibatkan tembakan pancaran cahaya partikel proton bersaiz sehelai rambut manusia.
Ujian di bawah tanah yang lebih besar akan tetap dilakukan selepas ujian kecil itu.
"Lima, empat, tiga, dua, satu, tiada apa-apa berlaku," kata ketua ujian itu, Dr. Lyndon Evans dengan nada berseloroh ketika mesin pemecut jirim terbesar di dunia iaitu Large Hadron Collider dihidupkan.
Beliau menyatakan demikian sejurus satu kerlipan muncul di skrin komputer yang memberi petunjuk bahawa mesin tersebut berjaya dihidupkan. Usaha bertahun-tahun para saintis selama ini akhirnya membuahkan hasil.
GAMBAR ini menunjukkan Profesor Peter Higgs berada dalam terowong yang
menempatkan mesin pemecut jirim di sempadan Perancis-Switzerland pada 5 April lalu.Ujian pertama dengan menggunakan mesin bernilai AS$3.8 bilion (RM13.1 bilion) itu dilakukan pada pukul 9.32 pagi waktu tempatan (3.32 petang waktu Malaysia).
Mesin itu dibina sejak 2003 dan ditempatkan di dalam sebuah terowong 100 meter di bawah tanah. Ujian yang dilakukan oleh CERN itu ditunggu-tunggu oleh 9,000 ahli fizik di seluruh dunia.
Projek itu menarik penyertaan sejumlah penyelidik daripada 80 buah negara di seluruh dunia.
Seramai 1,200 penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) turut menyertai ujian itu di mana negara tersebut menyumbang wang sebanyak AS$531 juta (RM1.8 bilion).
Jepun juga turut menjadi penyumbang utama dalam projek itu. Ujian itu juga mendapat sokongan ahli fizik terkenal dari Britain, Profesor Stephen Hawking yang kini lumpuh kerana menghidap penyakit saraf.
Ketua Jurucakap CERN, James Gillies berkata: "Kita memulakan ujian dalam kuantiti yang kecil."
"Kami memulakan ujian dengan satu cahaya berpadu yang berkuasa rendah.
"Kami memperoleh pengalaman dengan kuasa rendah dan kemudian kami akan meningkatkannya selepas mengetahui kemampuan mesin itu," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, perkara paling berbahaya yang boleh terjadi adalah jika satu pancaran pada kuasa maksimum gagal dikawal. Beliau berkata, jika keadaan itu berlaku, mesin pemecut itu boleh rosak atau runtuh ke dalam terowong.
Projek itu dimulakan sejak 30 tahun lalu tetapi mengalami beberapa halangan termasuk masalah kos tinggi. Mesin itu direka untuk menghentam dua proton iaitu partikel yang terkandung dalam satu-satu atom pada kelajuan hampir menyamai pergerakan cahaya iaitu 300,000 kilometer sesaat.
BULATAN dalam gambar ini menunjukkan lokasi terowong eksperimen
Letupan Besar atau Big Bang dilakukan di sempadan Perancis-Switzerland semalam.Matlamat utamanya ialah mengulangi kejadian Big Bang.
Istilah Big Bang, dicipta oleh seorang saintis Britain, Fred Hoyle pada tahun 1949, merujuk kepada alam semesta yang pada asalnya bercantum padu, kemudian berlaku satu letupan yang kuat kira-kira 13 bilion tahun dahulu.
Hasil daripada letupan itu, angkasa lepas, galaksi dan matahari wujud. - Agensi