Masih kena histeria - Walaupun telah dipindah ke sekolah lain
Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
shahrulanoor.ishak@kosmo.com.mySEORANG pengamal perubatan tradisional menabur beras jampi sebagai usaha meredakan kejadian histeria di SMK Tanjung Lumpur, Kuantan semalam.
KUANTAN - Usaha memindahkan pelajar ke sekolah lain yang terletak kira-kira dua kilometer dengan harapan mangsa tidak lagi diserang histeria nampaknya tidak berhasil.
Sebaliknya, sebahagian daripada 11 pelajar perempuan yang ditukarkan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur ke SMK Sungai Soi di sini masih diganggu kejadian misteri itu.
Mariah Mat Zain, 50, ibu saudara kepada salah seorang mangsa terbabit memberitahu, keadaan anak saudaranya masih mengalami histeria selepas tiga minggu bertukar ke SMK Sungai Soi.
"Keadaan anak saudara saya (Nur Faizah Mohd. Mustafa) masih tak berubah. Termasuk hari ini (semalam), sudah dua kali dia kena histeria sejak bertukar ke sekolah baru pada tiga minggu lalu," katanya semasa ditemui di rumahnya di sini semalam.
Kata Mariah lagi, beliau dimaklumkan bahawa anak saudaranya itu diserang gangguan histeria pada pukul 8 pagi semalam sewaktu mengikuti perhimpunan pagi di SMK Sungai Soi.
Tambahnya lagi, anak saudaranya kemudian dihantar oleh seorang guru ke SMK Tanjung Lumpur untuk dipulihkan.
"Kebetulan ada pakar terapi yang datang ke sekolah ini (SMK Tanjung Lumpur) untuk bantu selesaikan masalah histeria. Sebab itulah pihak SMK Sungai Soi hantar Nur Faizah ke sekolah ini," katanya.
Pakar terapi, Nor Azizan Abdul Majid dari Pusat Terapi Minda Aura Syifa Malaysia (Aura Syifa) semasa ditemui di SMK Tanjung Lumpur berkata, masa- lah histeria tersebut berpunca daripada tekanan yang dihadapi pelajar.
"Kita turut mengesan aktiviti entiti (makhluk halus) di sekolah ini, tapi ia bukan punca utama. Keadaan pelajar yang tertekan menjadi punca mereka mudah diganggu entiti.
"Minda pelajar perlu dikuatkan kerana hanya cara itu yang dapat menangkis serangan entiti ke atas pemikiran mereka. Mereka terlalu banyak dimomokkan dengan pelbagai cerita hantu semenjak kecil," katanya.
Dalam pada itu, Nor Azizan turut dibantu dua pakar terapi dan psikoterapi dari Aura Syifa Indonesia iaitu Rahmat Setiawan, 49, dan Bidi Ardi, 33, yang memulakan kerja pemulihan semalam.
"Kita terlebih dahulu menenangkan pelajar sebelum membantu mereka menguatkan minda dalam menangkis gangguan.
"Pelajar tidak akan diganggu atau dirasuk sekiranya mereka mampu mempertahankan minda mereka daripada 'dirampas' entiti. Cara ini sudah lama diamalkan dan ia selamat," kata- nya.
Dalam perkembangan yang sama, tinjauan semalam juga mendapati, empat pelajar SMK Tanjung Lumpur diserang histe- ria, manakala seorang lagi bekas pelajar sekolah tersebut yang ditukarkan ke SMK Sungai Soi turut mengalami masalah serupa.
Menurut sumber sekolah terbabit, kejadian berlaku seawal bermulanya sesi persekolahan pada pukul 8 pagi di mana empat mangsa terbabit dilihat meracau sambil ketawa sewaktu perhimpunan pagi.
"Mereka kemudiannya dibawa ke surau sebelum pakar terapi dari Selangor datang memulakan kerja pemulihan pada pukul 9 pagi.
Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.