RELEVAN BERBEKAM (HIJAMAH)
Hadis berkaitan galakan Rasulullah s.a.w supaya berbekam. Berhubung dengan pencegahan penyakit, Abu Daud telah meriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w. telah bersabda:
مَنْ احْتَجَمَ لِسَبْعَ عَشْرَةَ وَتِسْعَ عَشْرَةَ وَإِحْدَى وَعِشْرِينَ كَانَ شِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ
Maksudnya: "Barang siapa yang berbekam pada hari 17, 19 dan 21 pada setiap bulan, itu adalah penawar baginya daripada penyakit-penyakit.”
Definisi dan Tujuan Berbekam
Berbekam bermaksud mengeluarkan darah bagi tujuan kesihatan, contohnya bagi merawat dan mencegah penyakit. Dalam ilmu perubatan moden, berbekam dikenali sebagai venesection, venipuncture atau phlebotomy.
Menurut Abu Daud dan Ibn Majah, pada zaman Nabi s.a.w, beliau berbekam dengan mengeluarkan darah di bahagian kepala, di antara dua bahu dan di bahagian kaki. Abu Kabsyah al-Athmari melaporkan, Nabi s.a.w sering kali berbekam di bahagian kepala dan di antara bahu beliau. Apa yang jelas di sini adalah pelbagai anggota badan boleh dilakukan bekam asalkan ia selamat bagi pengeluaran darah kotor atau venous blood dari badan yang mengandungi karbon dioksida dan bahan-bahan kumuh yang lain.
Berbekam dan Popularitinya di Barat
Ramai pakar perubatan memandang baik rawatan secara berbekam ini, dengan syarat ia dilakukan dengan betul. Tidak seperti apa yang berlaku di Amerika pada abad kelapan belas Masihi, di mana timbul kontroversi kerana menyalahi teknik dan pendekatan yang digunakan iaitu darah yang dikeluarkan berlebihan sehingga boleh menyebabkan maut di samping penggunaan lintah untuk mengeluarkannya. Walau bagaimana pun, Henry Clutterbuck M.D., yang merupakan ahli The Royal College of Physicians telah menghasilkan sebuah buku yang bertajuk The Proper Administration of Blood-Letting, for the Prevention and Cure of Disease terbitan London pada 1840. Buku ini menceritakan berkenaan kebaikan berbekam sekiranya dilakukan dengan cara yang betul bagi mengubati penyakit. Tokoh perubatan terkenal, Sir William Osler dalam buku Principles and Practice of Medicine edisi 1923 juga memandang baik pendekatan ini.
Berbekam dan Relevannya pada Hari Ini
Berbekam masih relevan pada hari ini. Malah terdapat petanda yang menunjukkan ia menjadi semakin popular dalam pengamalan perubatan moden kontemporari. Sebagai contoh, penyakit hereditary haemochromatosis adalah suatu penyakit keturunan yang menyebabkan zat besi di dalam darah seseorang dilonggokkan di dalam organ-organ khusus terutamanya hati atau liver sehingga akhirnya merosakkan organ-organ itu. Berbekam amat berkesan bagi merawat penyakit ini. Perkara ini disebutkan dalam Annals of Internal Medicine, Disember 1998. Menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika pula, berbekam didapati boleh mendatangkan kesan yang positif ke atas pesakit-pesakit hepatitis C yang kronik.
Jelas sekali sunnah berbekam memang relevan dengan kehidupan kita hari ini, tetapi perlu disebutkan, amalan berbekam pada zaman Nabi s.a.w tidak dilakukan semberono. Nabi s.a.w melarang seseorang berbekam sekiranya terdapat masalah pada proses pembekuan darah. Pendekatan Nabi Muhammad s.a.w ini amat saintifik, walaupun ia dilaksanakan pada abad ketujuh Masihi dahulu.